Ibu Tunggal Tawar Khidmat Seks Kepada Polis Dipenjara 6 Bulan
KUALA LUMPUR – Seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menawarkan khidmat seks kepada seorang anggota polis.
Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan memerintahkan Suhaili Abu Kasim, 35, menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap tiga hari lepas.
Suhaili, seorang peniaga kecil, didakwa menawarkan khidmat seks kepada anggota polis itu di hadapan sebuah premis di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Dang Wangi di sini kira-kira 1.50 tengah hari pada 11 Ogos.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 372 (B) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh. – BERNAMA
Ulasan
Catat Ulasan